Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada Jumaat telah tampil membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah pelbagai teguran terhadap syarikat milik kerajaan itu 'tidak dipedulikan'.

Syarikat yang ditubuhkan kerajaan pada 2009 itu dilaporkan bertujuan bagi mengumpul dana dengan membawa masuk pelaburan langsung asing untuk projek negara serta menerbitkan bon.

Namun, pada akhir-akhir ini, ia telah mendapat kritikan pelbagai bukan sahaja dari pembangkang malah dari tiga mantan Menteri Kewangan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Daim Zainuddin.

Agensi itu didakwa telah mengalami kerugian hampir RM38 bilion. Namun, pada bulan lalu 1MDB telah memberi jaminan bahawa semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional, dan dalam keadaan baik untuk membayar semua hutang.

Laporan polis yang dibuat Khairuddin itu antara lain menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap syarikat itu bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangannya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan akan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siapa Khairuddin?

Khairuddin ialah seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang dan merupakan suami kepada pelakon wanita terkenal tanahair, Umie Aida.

Beliau mempunyai dua orang anak, hasil dari perkahwinannya yang pertama. Selain itu, Khairuddin juga merupakan anak saudara Sulaiman Palestin dan juga sepupu kepada Anwar.

Khairuddin, meskipun ahli UMNO, dikatakan agak 'berbeza' dengan ahli UMNO lain dalam membuat melontarkan pandangan yang dipercayainya benar.

Tindakan menentang sesuatu yang dianggap 'salah' seperti laporan terhadap 1MDB ini, menurutnya bukanlah yang pertama kali dilakukannya.

Pada tahun 1998, ketika ramai ahli UMNO membela Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Khairuddin telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk '50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM'.

"Pada waktu itu sikap ahli-ahli UMNO termasuk presiden membela Anwar secara habis-habisan dan saya terpaksa keseorangan di dalam perjuangan tersebut dan beberapa orang sahabat," katanya.

Beliau juga pernah tampil beberapa kali dalam kes liwat Anwar pada 1998 bersama bersama Khalid Jafri, yang merupakan penulis buku '50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM' dan juga Umi Hafilda Ali.

Pada November 2009 pula, Khairuddin selaku ahli lembaga pengarah LBCN Development Sdn Bhd, memfailkan saman malu berjumlah RM500 juta ke atas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pada ketika itu Menteri Besar Selangor dan kerajaan Negeri Selangor.

Menyentuh tentang tindakannya membuat laporan terhadap 1MDB, Khairuddin berkata beliau telah bersiap sedia menunggu reaksi dari Majlis Tertinggi UMNO, jawatankuasa disiplin UMNO, serta Setiausaha Agung UMNO.

"Sekiranya mereka menyatakan mereka ingin mengambil tindakan disiplin ke atas diri saya, saya nak tanya kepada pucuk kepimpinan tertinggi UMNO, atas dasar apa mereka boleh mengambil tindakan terhadap diri saya.

"Saya datang ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis ke atas syarikat 1MDB, iaitu syarikat swasta. Saya tidak buat laporan ke atas UMNO, saya tidak buat laporan polis ke atas Presiden UMNO, (dan) saya tidak buat laporan polis ke atas Menteri Kewangan Malaysia," tegas beliau.

Sambil mempertahankan tindakannya, Khairuddin berkata apa yang dimahukannya ialah siasatan dilakukan terhadap 1MDB di mana secara prinsipnya beliau merasakan perkara itu tidak salah.