KUALA LUMPUR: Karisma yang dimiliki oleh Khairy Jamaluddin, ditambah pula dengan sokongan kakitangan profesional Kementerian Kesihatan (KKM) memberi harapan kepada masyarakat dalam aspek pengawalan wabak.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berpandangan, sebelum ini terdapat kekeliruan dalam aspek pengawalan wabak sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan segelintir pihak. 

Justeru, beliau berkata dalam pengawalan wabak, teladan yang baik sangat diharapkan bagi mendapatkan sokongan padu semua pihak.

"Saya berpandangan dalam suasana kita pada ketika ini, suasana yang sangat stabil dan saya berpendapat YB Khairy adalah satu figura yang boleh diterima oleh semua peringkat.

"Ini yang sangat kita harapkan sebab dalam kawalan wabak, teladan yang baik itu sangat kita harapkan bagi mendapatkan sokongan padu.

"Sebab kawalan wabak ini bukan sahaja dari segi politik tetapi penerimaan masyarakat itu adalah sangat penting. Jadi, kalau kita ada satu watak yang dapat memberikan teladan yang baik, ini merupakan satu perkara yang sangat-sangat berguna dalam konteks untuk pengurusan wabak," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.


Watak, teladan yang baik sangat berguna dalam konteks pengurusan wabak

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata  pendekatan yang digunapakai oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pengurusan wabak, ketika ini juga disifatkan relevan.

Bagaimanapun, jelas beliau, ancaman varian Delta dan sedikit kelewatan dalam aspek liputan vaksin dilihat menjadi faktor penularan wabak berpanjangan di negara ini.

"Jadi untuk KKM pada pandangan saya, strategi sedia ada boleh digunakan. Namun, penambahbaikan dalam beberapa aspek yang saya harapkan dapat dilaksanakan terutamanya perkongsian data.

"Data-data sedia sebenarnya adalah petunjuk untuk kita perbaiki langkah-langkah seterusnya, dan ini wajar dilakukan dengan kerjasama daripada agensi-agensi yang terlibat yang mana ia bukan sahaja dapat menambah baik dari segi polisi, tetapi juga dapat memberikan maklumat untuk memberi teladan," katanya.

Selain itu, beliau berharap satu townhall boleh dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan daripada golongan profesional muda, yang diyakini mempunyai idea-idea yang bernas dalam membantu merangka pendekatan pengurusan wabak.

Khairy yang sebelum ini mengemudi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini bertukar portfolio di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

BACA: 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah di Istana Negara hari ini

Ahli Parlimen Rembau itu antara 31 menteri dan 38 timbalan menteri yang akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.