Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya tidak bersetuju dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak berkaitan dengan pengurangan subsidi.

Katanya, ini termasuk harga tol, tambang bas dan cukai pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Saya berharap kerajaan tidak setuju dengan permintaan untuk kenaikan harga seperti cukai pintu dan tambang bas sekolah yang tiada kena-mengena dengan pengurangan subsidi," kata Khairy kepada pemberita pagi tadi.

Khairy berkata bahawa kerajaan masih boleh berunding dengan syarikat-syarikat tol berkenaan terma-terma perjanjian mereka.

"Kami meminta syarikat tol supaya tidak menaikkan harga tol sekarang. Kita masih boleh berunding semula mengenai perjanjian itu dan juga boleh memanjangkan tempoh konsesi. Terdapat banyak penyelesaian," katanya.

"Kami mahu memastikan tiada siapa mengambil kesempatan ke atas situasi ini," kata ahli parlimen Rembau itu.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Susulan daripada tinjauan itu, Ketua Pemuda UMNO itu telah menyimpulkan bahawa faktor permintaan, bekalan dan cuaca selain musim perayaan, menjadi antara punca utama mempengaruhi kenaikan atau penurunan sesuatu barang di pasar.

"Saya mahu memahami rantaian bekalan sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil laut serta sejauh mana keuntungan yang diambil kira daripada pihak pekebun dan nelayan, pemborong sehingga peruncit," kata Khairy.

"Hasil lawatan ini saya dapati kenaikan harga petrol hanya memberi kesan kecil kepada barang di pasar borong ini," kata Khairy.

Tambah beliau, anggapan bahawa penurunan subsidi harga petrol semata-mata menjadi faktor utama kepada kenaikan harga barang tidak benar.