Pelaksanaan Parlimen Belia terpaksa ditangguh sehingga awal tahun depan bagi memastikan ahli terpilih benar-benar layak keanggotaan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini jumlah pendaftaran pemilih bagi kesemua 222 kawasan parlimen hanya 15,516 orang.

"Di sesetengah kawasan, bilangan pengundi yang berdaftar hanya tujuh orang, jadi kita terpaksa tangguhkan sebab saya rasa ia tidak menggambarkan representasi sebenarnya (belia) jika tujuh orang sahaja yang mengundi anggota parlimen, maknanya dia tidak mendapat perwakilan sebenar," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta penjelasan mengenai pewujudan parlimen belia.

Ia sudah dicadangkan sejak 2011 oleh Makmal Transformasi Belia Negara. Ia merupakan usaha untuk mengenali serta memahami keperluan sebenar apa yang disebut sebagai Generasi Y di negara ini.

Tujuan utama pelaksanaan parlimen belia adalah melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara pada masa ini dan akan datang.

Pendaftaran pemilih Parlimen Belia dibuka kepada warga Malaysia berusia 15 tahun hingga 40 tahun pada tahun semasa.

Menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) sama ada kementerian berhasrat membawa Festival Belia ke seluruh negara, Khairy berkata ia sememangnya penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.