PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor berharap agar bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipilih semula sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Pengerusinya Datuk Hasni Mohammad berkata ini memandangkan Mohamed Khaled adalah Naib Presiden UMNO.

"Saya percaya kita (BN Johor) tentunya hendak Naib Presiden UMNO dari Johor ini supaya dapat diberi peluang bertanding sekali lagi dalam PRU kali ini," katanya mengulas mengenai jika terdapat calon yang akan membuat penampilan semula pada PRU15, selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian, di sini.

Pada PRU14, Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ketika itu tewas dalam saingan empat penjuru di Parlimen Pasir Gudang dan dimenangi Hassan Abdul Karim daripada PKR dengan majoriti 24,726 undi.

Mohamed Khaled, yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi itu turut gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, dan telah dimenangi Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh daripada PKR dengan majoriti undi 8,746.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata bagi PRU15, UMNO akan bertanding di 17 kerusi Parlimen, manakala MCA pula lapan dan MIC, satu dengan jangkaan tidak kurang 60 peratus adalah calon muka baharu.

"Saya ada tanggungjawab yang berat kerana parti menyasarkan BN Johor memenangi jumlah kerusi Parlimen yang besar antara 16 hingga 20 kerusi daripada 26 kerusi yang dipertandingkan di Johor," katanya.

-- BERNAMA