Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor masih lagi menjadi tanda tanya sehingga hari ini dimana penyandangnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan enggan melepaskan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam laporan eksklusif akhbar The Star hari ini, sumber memberitahu akhbar tersebut bahawa Khalid yang dikatakan akan menandatangani surat perletakan jawatannya yang telah disediakan oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah mengelak untuk berbuat demikian.

Surat tersebut yang dipercayai bertarikh 23 Mac merupakan hasrat parti itu yang mahukan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memegang jawatan tersebut.

Tarikh itu dipilih kerana pengundi di Kajang akan mula membuang undi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang dan ianya turut mengambil kira andaian bahawa Anwar akan memenangi PRK tersebut.

Andaian tersebut juga mengambil kira bahawa Anwar akan menyertai Majlis Mesyuarat Negeri sebelum diangkat sebagai Menteri Besar kemudiannya.

Namun begitu, Khalid yang merasakan dirinya dipermain-mainkan oleh Anwar telah memberitahu pihak istana bahawa beliau tidak akan meletakan jawatannya itu menurut laporan itu.

Sumber dari kerajaan negeri juga dipetik sebagai berkata Khalid telah menerangkan situasi politik semasa negeri Selangor kepada Sultan pada perjumpaan mingguannya dengan Baginda pada Rabu.

Difahamkan Sultan yang begitu memahami Perlembagaan Negeri dijangka tidak akan mencampuri urusan politik negeri namun Baginda dikatakan akan “menyokong” tindakan berdasarkan lunas undang-undang.

Disebabkan perkembangan itu juga, Khalid dilihat akhir-akhir ini berada dalam keadaan ceria namun itu bukanlah penamat gembira pada kemelut yang melanda ini kerana beliau terpaksa berhadapan dengan “kawan” dalam usahanya untuk kekal menerajui Selangor.

Dikatakan bahawa, Parti DAP telah mendesak supaya suatu mesyuarat khas Pakatan Rakyat diadakan dalam minggu hadapan dan mesyuarat ini dipercayai bagi memberi gesaan kepada PKR untuk “menguruskan” Khalid.

Seandainya, PKR gagal berbuat demikian, DAP sendiri akan menerajui usaha untuk menekan Khalid supaya melepaskan jawatannya tersebut.

Khalid dikatakan telah mula hilang sokongan dari beberapa bahagian DAP Selangor terutamanya berhubung kejadian rampasan Bible.

Meskipun begitu, tidak ramai wakil rakyat DAP yang bersetuju dengan tindakan tersebut dan beberapa dari mereka dilihat masih lagi memberi sokongan teguh kepada kepimpinan Khalid.

Sumber turut meberitahu bahawa Khalid agak kecewa dengan kenyataan-kenyataan yang keluar dari beberapa pimpinan PKR sebaik sahaja Anwar diumumkan sebagai calon untuk PRK Kajang.

Kekecewaan tersebut lebih ditujukan kepada “perancang” kepada PRK Kajang ini iaitu Ketua Strategi PKR dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang secara terang-terangan mengatakan bahawa Anwar merupakan ahli politik yang terbaik dan mampu melakukan perubahan di Selangor.

Rafizi menggambarkan Khalid sebagai seorang teknokrat yang tidak mempunyai skil dan pengalaman dalam mengendalikan isu melibatkan kaum dan agama.

Kenyataan Anwar berkenaan rancangan masa hadapannya untuk negeri Selangor dilihat tidak mendapat sambutan yang baik dari Khalid kerana melihatnya sebagai suatu yang biadap kepadanya sebagai seorang Menteri Besar.

Sementara itu, portal berita The Malaysian Insiders dipetik sebagai melaporkan Naib Presiden PKR, Tian Chua telah menafikan laporan berita The Star itu dengan mengatakan bahawa segala laporan yang dikeluarkan itu adalah sesuatu yang tidak berasas.

“Laporan itu tiada asas. Sekarang ini fokus kami hendak menang PRK Kajang dan semua pihak termasuk Abdul Khalid bekerjasama untuk menjayakannya," kata Tian Chua kepada portal berita tersebut.