SEREMBAN: Seorang peniaga hari ini menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita di antara 1 Dis 2021 hingga 23 Mac lepas di sebuah rumah di Taman Nee Yan.

Khalid Redza Shuib, 41, mohon dibicarakan selepas pertuduhan mencederakan Siti Syarifah Aibiddin, 35, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibacakan semula di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mohd Firdaus menetapkan 17 Mei sebagai sebutan semula kes itu.

Pada 13 April lepas, Khalid Redza mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Peguam pemerhati Datuk Haniff Hassan, yang mewakili keluarga Siti Syarifah, pula berkata anak guamnya hadir ke mahkamah hari ini untuk memberikan kenyataan impak kesan perbuatan tertuduh terhadap mangsa.

Terdahulu, Siti Syarifah hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.

"Tertuduh menukar pengakuan, jadi mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Mei bersama kes lain di Mahkamah Sesyen (melibatkan kes lain tertuduh). Mangsa sendiri nak bagi kenyataan tapi disebabkan tertuduh tukar pengakuan, prosiding itu tak dapat diteruskan," kata Haniff kepada pemberita.

Media sebelum ini turut melaporkan Khalid Redza dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan secara bersama menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Jalan Temiang, Taman Nee Yan pada kira-kira 7 malam, 3 Mac lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Khalid Redza juga berdepan pertuduhan membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, di lokasi sama antara 15 hingga 17 Mac lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA