Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mempunyai "agenda tersembunyi".

Berikut kata-kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai krisis air yang menular di Lembah Klang terutamanya di kawasan Ampang dan Cheras.

Abdul Khalid berkata kenyataan Syabas pada hari Selasa bahawa krisis air di Lembah Klang akan berterusan sehingga Tahun Baru Cina bercanggah dengan kenyataan syarikat itu sebelum ini dimana krisis air bakal tamat dalam tempoh masa tujuh hari.

"Terdapat percanggahan kenyataan yang dibuat oleh Syabas menerusi media massa dimana pada pada 8 Januari lalu oleh Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Halim Mat Som menyatakan bahawa masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang boleh diatasi dalam tempoh tujuh hari namun Pengerusi Syabas Tan Sri Rozali Ismail pula menyatakan masalah ini bakal berpanjangan hingga Tahun Baru Cina," kata Abdul Khalid.

"Kenyataan tidak konsisten ini menunjukkan seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menimbulkan suasana panik dan seterusnya membangkitkan rasa marah dikalangan pengguna air di Lembah Klang kepada kerajaan negeri yang difitnah dan ditohmah sebagai punca masalah."

Beliau turut berkata kegagalan sistem VSD rumah pam seperti yang dinyatakan pihak Syabas juga tidak berasas menurut hasil siasatan Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor.

"Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor menyiasat dakwaan Syabas telah memanggil semua pihak yang terlibat dengan pembinaan rumah pam di Wangsa Maju termasuk jurutera perunding reka bentuk rumah pam tersebut."

"Siasatan menunjukkan dakwaan Syabas berkenaan kegagalan rumah pam berpunca dari sistem VSD adalah tidak berasas sedangkan pihak Syabas tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pihak pembekal VSD," tambahnya lagi.

Abdul Khalid berkata gangguan bekalan air di kawasan Lembah Klang jelas menunjukkan kegagalan Syabas memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Konsesi dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna.

"Pihak Syabas hanya memanggil pembekal untuk penyelenggaraan apabila ada sesuatu masalah yang timbul sahaja."

"Masalah air ini adalah masalah yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan pusat kerana ia membuktikan kegagalan projek penswastaan air yang diberi oleh kerajaan pusat kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten."

Justeru, bagi mengelakkan gangguan bekalan yang teruk serta menjamin kepentingan pengguna air, Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor mencadangkan supaya perjanjian konsesi ditamatkan sekaligus dibenarkan pelaksanaan 'Step In' dalam operasi Syabas.

Beliau berkata usaha melaksanaan 'Step in' akan membolehkan kerajaan negeri memastikan bekalan air kepada pengguna tidak terjejas dan pada masa yang sama perbelanjaan telus dan berhemah dapat dipertingkatkan melalui anak syarikat yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan kemampuan kewangan serta bersedia untuk mengambil alih pada bila-bila masa.