Muhammad Khairul Azizan Mohamad, 17, mengakui ada kekangan yang dihadapi untuk membaca al-Quran namun itu tidak menjadi alasan meneruskan hasrat berkenaan.
Menurut Muhammad Khairul Azizan, biasanya dia akan mengaji paling kurang 20 muka surat setiap hari.
"Saya biasanya akan mengaji al-Quran pada waktu pagi dan selepas solat. Saya juga ada mengikuti tadarus bersama rakan-rakan atau jemaah di masjid," katanya.
Pelajar itu juga memberitahu, mengaji menjadikannya lebih tenang selain dapat meningkatkan pahala terutama ketika Ramadan.
Sementara itu, warga emas, Siti Norma Latif, 60, mengambil peluang menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran di akhir Ramadan.
Jelasnya, setiap hari dia menghabiskan masa dengan mengaji terutama selepas solat Subuh.
"Saya juga mengikuti kelas al-Quran bagi melancarkan lagi bacaan supaya lebih sempurna selain menyertai program berkaitan yang dianjurkan pihak masjid di daerah ini," katanya.
Muhammad Khairul Azizan dan Siti Norma merupakan antara lebih 200 peserta Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Serta Berbuka Puasa Perdana di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Mohamad Sabri Abdul Ghani memberitahu, program itu antara usaha pihak masjid menggalakkan jemaah membaca al-Quran ketika Ramadan.
Katanya, setiap hari mereka melaksanakan program berbuka puasa, qiamullail dan zikir munajat sehingga akhir Ramadan.
"Pada hari ini kami menyediakan lima ekor kambing untuk jemaah dan dihidangkan dalam talam seperti di majlis kenduri tahun 1980-an," katanya.
Jelas beliau, hidangan seperti itu dilakukan setiap hari di masjid berkenaan bagi membolehkan lebih ramai jemaah berkumpul untuk berbuka puasa. - Sinar Harian