KUALA LUMPUR: Kesemua perkhidmatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di bawah kuota lantikan politik akan ditamatkan dengan serta-merta.

Beberapa media hari ini melaporkan, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.

Sinar Harian dalam laporannya berkata, perkara itu turut disahkan oleh seorang sumber kepada akhbar terbabit selepas tularnya surat tentang penamatan perkhidmatan membabitkan lantikan politik di media sosial.

“Menerusi surat berkenaan, penamatan itu membabitkan jawatan bagi badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Surat itu ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan ditujukan kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian,” menurut laporan itu lagi.

Laporan itu menyebut, surat itu turut meminta kerjasama semua Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan untuk melaksanakan perkara tersebut.