KUALA LUMPUR:Sebuah kilang memproses makanan dan minuman didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencemarkan sungai dengan melepaskan efluen melebihi had piawaian ditetapkan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata bagi pertuduhan pertama, syarikat itu mengaku melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian bagi lima parameter di bawah Peraturan 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 pada 21 Mei 2019.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan mengaku bersalah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian bagi satu parameter di bawah Peraturan 12(b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 pada tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar manakala syarikat diwakili peguambela mereka.

Nor Aziah dalam pada itu menegaskan JAS Selangor akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

-- BERNAMA