Sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak semalam disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

"Pencemaran bau pada kadar bacaan tiga ton itu dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang sehingga memaksa stesen air mentah ditutup operasinya.

"Sejak insiden (pencemaran bau) itu dikesan, Unit Pengurusan Bencana Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Lembaga Urus Air Selangor telah mengambil beberapa tindakan untuk mempercepatkan usaha membuka semula operasi LRA itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara tindakan yang dilakukan ialah melepaskan 1,882 juta liter sehari (JLH) daripada kolam alternatif Hybrid Off River Augmentation System (HORAS 600), Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tengi bagi proses pencairan air di Sungai Gong.

BACA: Operasi Air Selangor: Gangguan bekalan air dijangka lebih lama

Selain itu katanya, agensi berkenaan juga turut melakukan 'flushing' air tercemar ke hilir sungai menerusi pembukaan pintu baraj tiga dan lima di Intake Sungai Selangor Fasa 1 selain meletakkan 250 kilogram 'activated carbon' di lokasi yang terdapat kesan bau termasuk di kilang berkenaan.

"Keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan gangguan bekalan air kepada pengguna dan premis perniagaan dipulihkan secepat mungkin.

"Sehingga kini, sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo dan 54 tangki statik dikerah ke lokasi terjejas serta membuka 18 pusat khidmat setempat dan lapan pili air awam selain mengagihkan 23,000 botol air minuman lima liter kepada mereka yang terjejas," katanya.



Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula semalam selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

Tujuh wilayah tersebut ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

-- BERNAMA