NILAI: Polis merampas sejumlah arak dan peralatan memproses minuman itu yang keseluruhannya dianggar bernilai RM4 juta dalam serbuan di sebuah kilang memproses arak secara haram di Jalan Broga, Kampung Orang Asli Broga, Lenggeng, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata serbuan pada 5.30 petang, 24 Ogos itu menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia 30 hingga 31 tahun serta merampas 22,848 tin arak bernilai RM182,784.

Beliau berkata polis kemudian menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 40 tahun pada 30 Ogos lepas selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

"Suspek didapati menggunakan kilang terbiar dan beroperasi hampir dua tahun bagi memproses arak dalam tin iaitu jenis DJ Premium Strong Beer, Brew Extra Larger Manblo, Hades Beer Extra Strong Beer dan Oi Premium Strong Beer dengan kandungan alkohol yang tinggi iaitu 16 peratus hingga 18 peratus.

"Kita dapati pemprosesan arak di sini (kilang) dari peringkat awal hingga pembungkusan. Minuman ini dipercayai dijual untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, harga bagi satu tin minuman keras ini RM5 hingga RM10, " katanya kepada pemberita di kilang tersebut hari ini.

Ruslan berkata modus operandi pihak terlibat adalah menggunakan kilang terbiar yang terletak di lokasi sunyi dan kesemua pekerja warga asing itu juga tinggal di situ dengan menggunakan pintu belakang pada bangunan tersebut bagi laluan keluar.

Beliau berkata ketika serbuan, terdapat dua lagi lelaki warga Myanmar dipercayai melarikan diri menggunakan pintu rahsia di dinding kilang tersebut.

Menurutnya kesemua pasport warga asing itu telah tamat tempoh dan kelima-lima yang ditahan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Pemilik kilang tersebut disyaki telah meninggal dunia dan kilang itu tersebut berdaftar di bawah Majlis Perbandaran, mungkin kilang ini sewa atas sewa. Kita percaya ada orang tengah bagi kes ini dan siasatan masih dijalankan," katanya.

-- BERNAMA