Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari ke atas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengurus dan pengarah kilang haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown pada Sabtu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan keputusan terbabit selepas mempertimbangkan hujah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

Bagaimanapun hakim membenarkan pihak SPRM untuk memohon semula perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala Boon Pooh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer dan Dev Kumareandran.

Pada Ahad, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari ke atas Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown.

Semakan bagi membatalkan tempoh reman dibuat selepas peguam Boon Pooh berpendapat keputusan reman yang dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown, Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam yang mewakili Boon Poh, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Sementara itu, peguam Boon Poh, Ram Karpal Singh berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang mengetepikan perintah tahanan reman anak guamnya .

Bagaimanapun beliau memberi jaminan anak guamnya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sekiranya suruhanjaya berkenaan memerlukan kehadiran Boon Poh bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Perintah untuk menahan telah diketepikan dan perintah itu seolah tidak wujud dan Phee serta dua yang lain bebaslah dan tadi pegawai penyiasat juga megesahkan bahawa mereka tidak akan menahan semula.

“Jadi kita bergantung kepada pengesyoran pegawai penyiasat tadi, bahawa tidak akan ditahan, kami beri jaminan kepada pegawai penyiasat bahawa sekiranya untuk lanjutkan kita akan bersedia untuk bantu siasatan tiada masalah,” kata Ram Karpal.

Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu bersama dua beranak itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Penahanan tersebut susulan serbuan dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kilang memproses serbuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon, Khamis lalu.

Penahanan Boon Poh itu dikatakan dibuat berdasarkan beberapa surat arahan sama yang dikemukakan dan ditandatangani Exco berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menangguhkan sebarang tindakan dikenakan ke atas pengarah dan pengurus kilang haram terbabit, pada tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Menteri Lim Guan Eng , barisan kepimpinan Dap negeri, Lim Kit Siang serta ahli keluarga Boon Poh turut hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut.

Boon Poh turut di bawa ke mahkamah untuk prosiding hari ini.