SANDAKAN: Sebuah syarikat kilang kelapa sawit di daerah ini didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana melepaskan sisa buangan cecair atau efluen melebihi had yang ditetapkan.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman denda itu pada Selasa selepas wakil syarikat mengaku bersalah melepaskan efluen dengan kandungannya melebihi had yang ditentukan di bawah Syarat Jadual Pematuhan Lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).

Menurut pertuduhan, kilang kelapa sawit yang beroperasi itu didapati telah melepaskan efluen dengan kepekatan oksigen biokimia yang diperlukan (BOD) iaitu 30⁰C melebihi had 20 miligram per liter yang ditetapkan dalam lesen selama tiga hari.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Jissamy Jimmy.

Sementara itu, Pengarah JAS Sabah Amirul Aripin turut menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di negeri ini.

"Laporan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS," katanya. - Sinar Harian