LABUAN: Rekaan Kit Pelbagai Pengukuran atau 'Kit Multi Measurement' untuk kerja-kerja pembinaan awam, hasil inovasi sepasukan jurutera dari pulau bebas cukai ini berjaya memenangi geran bernilai RM100,000 dalam Cabaran Terbuka Akar Umbi (GOC) 2022.

Geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu, disalurkan melalui Program Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) Akar Umbi 2022, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ketua pasukan berkenaan Ir. Leong Geok Teng berkata pasukannya yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kerja Raya Labuan, mengambil bahagian dalam GOC 2022 bermula 1 Mac hingga 30 April lepas.

"Kami tidak menyangka inovasi pertama kami iaitu kit pelbagai pengukuran ini menang dalam GOC 2022 memandangkan persaingan dalam pertandingan itu sangat sengit dengan 270 pasukan mengambil bahagian.

"Pasukan kami terpilih antara 25 terbaik selepas pembentangan rekaan pada September lepas dan kami diisytiharkan sebagai satu daripada sembilan pemenang (untuk kategori geran pembangunan produk/prototaip) pada 30 Dis. Geran kemenangan akan disampaikan pada bulan ini," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Leong berkata GOC 2022, yang dianjurkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertujuan meningkatkan usaha pembangunan dan pengkomersilan inovasi akar umbi termasuk penyediaan peluang kepada pereka tempatan.

"Inovasi kami adalah untuk membantu memudahkan kerja-kerja mengikat tetulang konkrit dan kerja pemeriksaan yang dijalankan di tapak pembinaan, serta membantu memastikan ketepatan pengukuran jarak 'rebar' atau keluli pengukuh.

"Setelah menerima geran ini, kami diwajibkan membuat kajian lanjut sehingga ia boleh dikomersialkan dan semua itu perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan," katanya.

Leong berkata pasukannya terdiri daripada Pengarah JKR Labuan Ir. Suhaizad Sulaiman, Mohamad Firdous Hairy, Masriani Siradjuddin dan Suhirman Munik.

-- BERNAMA