Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mengulangi gesaannya kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kejadian rusuhan kaum 13 Mei.

Lim berkata demikian dalam satu kenyataan yang turut mencadangkan agar perkara tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet, esok.

Katanya tujuan siasatan itu bukanlah untuk menghukum pihak yang terlibat dalam rusuhan tetapi untuk ‘merawat luka lama perkauman’.

Mengulas tentang filem ‘Tanda Putera’, Lim berkata pengarah filem tersebut iaitu Shuhaimi Baba seharusnya lebih prihatin tentang keadaan negara ini khususnya generasi baru demi mempertahankan keharmonian serta keamanan negara.

“Dengan itu, Shuhaimi perlu menyenaraikan babak-babak rekaan serta peristiwa-peristiwa 13 Mei 1969 yang dipaparkan dalam “Tanda Putera” tetapi tidak disahkan sebagai peristiwa sebenar agar rakyat Malaysia tidak salah faham dan terhasut sehingga memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Tindakan ini mesti diambil memandangkan Shuhaimi sendiri telah mengakui bahawa filem beliau menampilkan cerita-cerita rekaan di sekitar peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969,” kata Lim.

Antara babak filem yang disebutkan termasuk babak yang menunjukkan sekumpulan pemuda Cina telah kencing pada tiang bendera di luar rumah bekas menteri besar Selangor Datuk Harun Idris, babak yang meminta para penonton Cina meninggalkan pawagam setelah lampunya padam, dan juga babak seorang lelaki Cina misteri yang didedahkan sebagai seorang pemimpin komunis.

“Saya telah mempersoalkan kesahihan peristiwa kencing berkenaan sebelum ini. Apakah ‘peristiwa’ kedua dan ketiga di atas benar-benar terjadi atau ia juga merupakan khayalan dan rekaan pembikin filem?”

Selain itu, Lim juga menyeru agar wang rakyat tidak digunakan bagi menerbitkan filem tersebut jika merupakan sesuatu yang direka dan bukannya berdasarkan sejarah.

Lim, dalam ucapan pertamanya di Parlimen 42 tahun lalu, iaitu pada 23 Februari 1971, telah menyeru agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kejadian 13 Mei 1969 bagi menyelidik puncanya dan menilai sejauh mana buruknya hubungan antara kaum di negara ini.

Tambahnya lagi, tujuan RCI tersebut adalah bagi mengemukakan saranan-saranan bagi mencegah kejadian 13 Mei 1969 daripada berulang dan juga memastikan jurang antara kaum tidak melebar.