Kita akar umbi seharusnya memainkan peranan aktif dalam membentuk sebuah bangsa Malaysia, kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada saluran parti politik semata-mata kerana ia bakal dimanipulasi dengan pelbagai persepsi sempit.

Melihat keadaan semasa yang semacam kelam kabut; dengan ekonomi nan merundum, tak kurang juga dengan keadaan alam yang sedang membinasa, kita di Malaysia masih tak lepas lagi dengan kekeliruan berpanjangan yang tidak berkesudahan; identiti kenegaraan.

Saban tahun, akan timbullah isu-isu kenegaraan; soal siapa tuan, siapa pendatang, siapa pengkhianat, siapa majoriti, siapa minoriti. Meskipun sudah berdekad merdeka, namun, apabila menyentuh soal integrasi sosial, kita masih terperangkap dengan dasar penjajah; pecah dan perintah.

Ya, mungkin senang menuding jari kepada penjajah, namun, kalau benar kita ingin bersatu, kenapa tidak kita yang memula dan menguatkan integrasi sosial di sini. Negara kita, tanggungjawab kita.

Dalam pada itu, situasi kekeliruan identiti kenegaraan ini telah mengingatkan saya kembali kepada kursus semester lalu - Politik di Negara Membangun.

Fokusnya adalah negara dunia ketiga yang melepasi era penjajahan dan memulakan pembinaan negara bangsa.

Kebersatuan kebangsaan menjadi titik fokus pembentukan negara bangsa memandangkan penjajahan telah mengintegrasikan pelbagai etnik kaum di jajahan takhluknya.

Kejumudan penghalang utama

Dasar penjajah antara penghalang kepada usaha menyatukan kepelbagaian etnik menjadi sebuah bangsa, pun begitu, dalam konteks Malaysia pada abad ke-21 ini, dan sudah berdekad merdeka malah sudah sekian lama bersama, kejumudan merupakan penghalang utama kepada usaha penyatuan kebangsaan tersebut.

Membentuk sebuah negara bangsa memerlukan sebuah identiti kebangsaan; dalam konteks ini, sudah semestinya sebuah bangsa Malaysia. Namun, disebabkan kejumudan, kita di sini lebih suka mengapi-apikan soal perbezaan berbanding meraikannya, kita juga alpa untuk menekankan soal persamaan yang dimiliki bersama.

Kejumudan ini berterusan apabila digunapakai oleh segelintir politikus dalam usaha meraih sokongan pengundi. Mereka-mereka inilah punca kegagalan gagasan negara bangsa yang diimpikan oleh bapa-bapa pengasas dahulu.

Dapatan kajian ilmiah oleh John M. Richardson dan Shinjinee Sen (1994) telah memunculkan ungkapan “victim mentality” (mangsa mentaliti) yang antara lain menjadikan sejarah lampau sebagai rujukan segala tindakan pada masa kini.

Pemimpin sesebuah etnik akan menggunakan saluran ini untuk terus berkuasa bagi memastikan sejarah tidak berulang, manakala yang minoriti pula terus-terusan dipermain.

Dalam konteks Malaysia, bagi mengekalkan kedudukan di tampuk kuasa, amalan pembodohan diteruskan tanpa henti. Retorik perkauman terus diapi-apikan di pentas-pentas politik sebagai modal; di sebuah pentas, gebang soal kebangsaan, beralih di sebuah pentas yang lain, gebang soal perkauman.

Makanya, kejumudan akan kekal mencengkam di bumi Malaysia ini jika usaha pembentukan bangsa Malaysia tidak ditekankan. Persoalan tentang “siapa kita?” akan terus muncul saban tahun melangkaui zaman.

Kita Bangsa Malaysia

Perkaitan dapatan kajian berkenaan dapat dikaitkan pula dengan kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: “I am Malay first.”

Memandangkan beliau adalah seorang pemimpin yang dipilih akar umbi berbilang latar, kata-kata beliau amatlah memberi kesan kepada usaha membentuk sebuah negara bangsa.

Pun begitu, prinsip yang berbeza pula dinyatakan oleh geng beliau dari blok yang sama, Tan Sri Rafidah Aziz baru-baru ini di dalam sebuah syarahan umum di Universiti Malaya:“Be Malaysian first, and while we are also proud to be a successful Malay, Chinese or Iban as it’s our heritage, we are more proud being citizens of our country, right?”

Pastinya, saya menyambut baik kenyataan beliau dan ia wajarlah terus ditekankan oleh segenap lapisan pemimpin dan akar umbi tanpa kira fahaman politik.

Dari blok pembangkang, DAP adalah perintis kepada usaha membentuk sebuah bangsa Malaysia, malah, ia kekal dan jelas sejak parti ini ditubuhkan.

Kita; akar umbi seharusnya memainkan peranan aktif dalam membentuk sebuah bangsa Malaysia, kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada saluran parti politik semata-mata kerna ia bakal dimanipulasi dengan pelbagai persepsi sempit.

Mungkin ramai yang masih berfikir gerakan akar umbi di Malaysia mati, realitinya, ia wujud cuma kita yang tidak peduli.

Makanya, kita wajarlah bergerak dan memberikan pencerahan tentang ide bangsa Malaysia ini. Saya menyambut gembira kempen ‘#IamMalaysianFirst’ yang dikemudi oleh aktivis sosial, Marina Mahathir.

Malaysia; kita masih belum terlambat untuk membetulkan asas negara bangsa kita.

Dengan adanya pemimpin dan akar umbi yang waras, kita mampu membina Malaysia tanpa sebarang sentimen dan retorik pembencian dan pembodohan.

Ia bukan sentimen politik yang mahu meraih undi, namun ia merupakan tanggungjawab kita bersama kerana kita bangsa Malaysia lah!

#IamMalaysianFirst

* Muhammad Ariff Mohamad Nizam merupakan seorang siswa Pengajian Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial. Universiti Malaysia Sarawak. Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.