Malaysia berkemampuan mencapai sasarannya untuk muncul sebagai sebuah negara industri aeroangkasa menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menegaskan, hasrat menjadi negara industri aeroangkasa itu memerlukan usaha berterusan serta tempoh yang agak lama.

"Boleh capai (hasrat itu), tetapi kena mengambil masa dan perlu menjadi negara maju pada 2020. Kalau dibandingkan dengan Singapura, mereka mempunyai angkatan tentera udara yang terbesar di ASEAN.

"Singapura mempunyai pesawat yang canggih tetapi kita ambil jalan lain iaitu kita menguasai teknologi pembuatan," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada media ketika melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015), di sini, pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan LIMA 2015 semalam, bahawa Malaysia bakal muncul sebagai negara industri aeroangkasa menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Mengulas LIMA yang merupakan ilhamnya ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir menyifatkan edisi tahun ini sebagai penganjuran terbesar berikutan penyertaan lebih daripada 100 buah pesawat.

"Ini LIMA terbesar sejak kita anjurkan. Apa yang menarik setengah daripada pempamer pada LIMA 2015 merupakan syarikat-syarikat tempatan," katanya.

Ini, kata Dr Mahathir, adalah satu kemajuan berbanding ketika LIMA dimulakan dengan tiada satu pun penyertaan syarikat tempatan.

Pencapaian itu dapat dicapai kerana rakyat tempatan telah menguasai bidang elektronik, kawalan kapal terbang dan pelbagai bidang teknologi tinggi, kata negarawan itu.

Bagaimanapun, tegas Dr Mahathir, usaha Malaysia meningkatkan penguasaan teknologi ketenteraannya tidak didorong oleh kemahuan untuk berperang dengan mana-mana negara.

"Kita mempertingkatkan teknologi ketenteraan bukan kerana mahu berperang dengan orang. Kita menguasai teknologi kerana tidak mahu ketinggalan," katanya.