KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah bertemu dengan dua syarikat filem tempatan bagi membincangkan penerbitan filem Malaysia yang menimbulkan kesedaran terhadap penipuan seperti filem pecah panggung China "No More Bets" yang kini ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan dan seluruh dunia.

Timbalan Menteri berkenaan Teo Nie Ching berkata filem seperti itu dijangka diterbitkan oleh pengeluar filem tempatan yang akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"KKD akan memberi sokongan terhadap usaha sedemikian untuk memberi gambaran apa yang berlaku di Malaysia. 'No More Bets' ialah sebuah filem yang berjaya bukan hanya di China tetapi juga di Malaysia dengan kutipan lebih daripada RM20 juta. Ia adalah sebuah filem Mandarin yang berjaya di Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di majis penutupan TIP The Narrative di sini hari ini.

Teo berkata pembuat filem adalah pihak yang seharusnya menyertai kempen kesedaran tentang penipuan selain daripada pihak media dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana filem boleh disampaikan kepada jumlah penonton yang lebih ramai.

No More Bets ditayangkan sejak Ogos tahun ini ialah sebuah filem jenayah ngeri mengenai rakyat China yang menjadi mangsa kepada penipuan pekerjaan, didagangkan keluar negara, terperangkap di negara asing dan dipaksa menjadi seorang "scammer".

Teo berkata pemerdagangan manusia bukan satu jenayah baharu tetapi ramai orang yang masih menjadi mangsa kerana dalam dunia digital manusia bergantung kepada teknologi sementara penjenayah siber sentiasa mengakali teknologi.

Beliau berkata setakat Oktober tahun ini, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima 58,980 panggilan dan daripada jumlah itu 22,670 merupakan panggilan tulen dengan jumlah kerugian RM203 juta.

Teo berkata adalah lebih mencabar untuk mengesan penipuan di platform Telegram dan WhatsApp kerana pihak berkuasa bergantung kepada laporan daripada orang awam.

Untuk Telegram dan WhatsApp, Teo berkata butiran seperti siapa pentadbir kumpulan diperlukan.

Beliau berkata orang awam perlu menyedari modus operandi penipuan selalunya adalah sama dari semasa ke semasa dan di dalam beberapa platform.

Menurut Teo, penjenayah siber beralih dari satu platform media sosial kepada platform lain dari semasa ke semasa, sebagai contoh ketika Tahun Baharu Cina ramai memerlukan perkhidmatan pembersihan dan penipu siber mengiklankan untuk khidmat pembersihan dan meminta orang ramai untuk memuat turun aplikasi palsu.

Semasa musim durian mereka mengiklankan durian murah dan ketika festival kuih bulan mereka membuat iklan palsu untuk orang ramai memesan kuih bulan, katanya.

Teo berkata orang ramai perlu dididik supaya tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada sumber tidak diketahui kerana ia boleh jadi aplikasi hasad atau perisian hasad, jadi tiada siapa pun boleh mengambil alih kawalan terhadap telefon pintar seseorang.

Ditanya mengenai peranan pihak media dalam menangani pemerdagangan manusia beliau berkata perlu kerjasama media untuk mendidik golongan muda terutamanya lepasan sekolah dan siswazah supaya tidak mudah percaya semua yang ditawarkan di Internet.

"Di Internet sesiapa sahaja boleh menjanjikan apa sahaja. Jadi di mana-mana platform sekali pun perlu semak semua maklumat dulu," katanya.

-- BERNAMA