LANGKAWI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius projek-projek pembangunan yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' di bawah kementerian itu yang gagal disiapkan mengikut jadual.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata pada masa ini terdapat dua projek di bawah KKD yang menghadapi masalah itu iaitu projek membina bangunan RTM Langkawi di sini dan projek membina bangunan RTM Bintulu, Sarawak.

"Bagi saya dan pihak kementerian kami memandang serius sekiranya ada projek yang telah diberikan peruntukan dan dikeluarkan surat setuju terima tapi tidak mampu dilaksanakan.

"Projek di Langkawi ini adalah satu daripada dua projek sakit di bawah KKD dan saya akan cuba melawat tapak projek yang satu lagi iaitu di Bintulu, Sarawak selepas ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek membina bangunan RTM Langkawi di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah di sini hari ini.

Beliau berkata projek RTM Langkawi itu sepatutnya disiapkan pada 19 Sept tahun lepas namun projek tersebut terpaksa ditender semula selepas pihak kontraktor gagal melaksanakannya walaupun telah diberikan lanjutan masa sebanyak tiga kali.

Katanya pihak kementerian dan Jabatan Kerja Raya akhirnya menamatkan kontrak pihak kontraktor terbabit pada April lepas dan proses tender akan dilakukan semula bagi melantik kontraktor baharu untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan kontraktor lama.

"Kita jangkakan kerja-kerja di tapak boleh bermula setelah projek ditender semula dan kita jangka menjelang Oktober atau November tahun ini, insya-Allah projek RTM Langkawi ini dapat dimulakan semula dan jangkaan kita ia kurang dua tahun iaitu menjelang Oktober 2025 projek ini akan siap," katanya.

Terdahulu Fahmi yang diiringi Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut mengadakan lawatan ke Pejabat Penerangan Daerah Langkawi di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi.

-- BERNAMA