KKDW terus perkukuh pembangunan luar bandar melalui Belanjawan 2026 - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid hadir pada program Ruang Bicara “Merealisasi Belanjawan 2026” di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, pada Khamis. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan meneruskan fokus kepada pembangunan luar bandar secara menyeluruh melalui Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM12.4 bilion, mencatatkan peningkatan 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar secara holistik melalui pendekatan inklusif.
"KKDW sentiasa mengambil kira isu kos sara hidup dan memberi tumpuan kepada jaringan keselamatan sosial bagi meningkatkan taraf hidup serta menambah pendapatan masyarakat luar bandar," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara: Merealisasikan Belanjawan 2026 terbitan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata, antara fokus utama adalah memperkukuhkan prasarana asas luar bandar dengan peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan desa, bekalan air bersih, elektrik dan pemasangan lampu jalan kampung termasuk tenaga solar."Walaupun jumlah itu nampak besar, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berfasa mengikut keutamaan kawasan agar impaknya lebih segera," katanya.
Selain itu, hampir RM2.4 bilion diperuntukkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi melindungi lebih 720,000 peneroka serta pekebun kecil di seluruh negara.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu bagi memperkukuh ketahanan ekonomi pekebun kecil melalui aktiviti nilai tambah dan hiliran selain menstabilkan harga komoditi.
Beliau berkata, KKDW juga memberi tumpuan kepada pembangunan digital desa, termasuk memperluas capaian 5G dan menggalakkan penglibatan golongan muda serta usahawan luar bandar dalam ekonomi digital.
"Kami mahu masyarakat luar bandar menjadi usahawan moden dan berdaya saing, bukan hanya bergantung kepada produk tradisional. Kini pesanan dalam talian oleh usahawan desa meningkat kira-kira 35 peratus," katanya.
Ahmad Zahid berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima RM4 bilion bagi memperkukuh peranan dalam pembangunan usahawan dan pendidikan, termasuk RM50 juta untuk menaik taraf 363 premis perniagaan luar bandar serta RM100 juta bagi program penskalaan usahawan Bumiputera.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW turut menumpukan kepada pendidikan awal kanak-kanak dengan peruntukan RM70 juta untuk membekalkan televisyen pintar kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara.
Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkenalkan kaedah pengajaran berasaskan digital seawal usia tiga hingga enam tahun bagi menyesuaikan generasi muda dengan teknologi semasa.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kebajikan komuniti Orang Asli dengan peruntukan RM412 juta tahun ini, termasuk usaha menaik taraf infrastruktur asas, pendidikan, perumahan dan mobiliti sosial.
Mengenai pengurusan bencana pula, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkata, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan bagi penyelarasan program berkaitan di bawah pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR)
Beliau turut menekankan kepentingan sistem amaran awal serta penggunaan teknologi satelit dan komunikasi bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda ketika bencana berlaku.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami