SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan pesakit-pesakit di wad ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu bermula pada Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan polisi penjaga dan pelawat di hospital KKM tersebut berkuat kuasa pada 23 April 2022.

"Tatacara pelaksanaan arahan tersebut adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.

“KKM ingin memaklumkan bahawa polisi dan garis panduan yang digunapakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan KKM semasa pandemik COVID-19 sentiasa disemak dan dikemaskini berdasarkan perkembangan terkini kejadian jangkitan.

“Berdasarkan analisa trend terkini kes COVID-19 kategori tiga hingga lima dan kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 yang rendah, KKM telah meneliti semula dan mengemaskini polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital.

“Langkah ini diambil setelah mengambil kira kepentingan sokongan psikososial terutama daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan pesakit,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, secara umumnya, pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menemani pesakit mestilah berumur 12 tahun dan ke atas, telah lengkap vaksinasi COVID-19, tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan seperti mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah.

Beliau berkata, bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital dengan tarikh dan masa ujian beserta gambar dinyatakan sebagai bukti.

"Mereka juga tidak disyaki menghidap COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS). Selain itu, mereka tidak mempunyai gejala COVID-19 selain perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta memakai alat pelindung diri (PPE) seperti ditetapkan," katanya.

Selain kriteria umum, KKM menetapkan kriteria khusus yang perlu dipatuhi mengikut kategori pesakit yang dilawati iaitu pesakit bukan COVID-19 dan mempunyai COVID-19.

Beliau berkata, penjaga pesakit bukan COVID-19 yang berada di wad dan individu yang ingin menemani ibu hamil semasa proses bersalin, perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.

Kata beliau, lawatan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, unit rawatan rapi (ICU) atau sedang tenat juga dibenarkan, terhad kepada dua pelawat pada satu-satu masa.

“Mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, sebelum melawat,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, hanya dibenarkan seorang penjaga bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau jabatan kecemasan.

“Penjaga juga adalah digalakkan menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan,” katanya.

Selain itu, KKM membenarkan penjaga untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja.

"Bagi tujuan ini, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.

"Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU. Hanya dua pelawat pada satu-satu masa dan ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, digalakkan sebelum lawatan,” katanya.

KKM ingin menekankan dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak.


Artikel asal di Sinar Harian