KUALA LUMPUR: Suasana pagi Ahad di IWK Eco Park @ Pantai Dalam bertukar meriah apabila ratusan peserta daripada pelbagai latar belakang berhimpun bagi menyertai Rise & Revive, sebuah program yang menggabungkan elemen kecergasan, muzik dan semangat komuniti dalam satu platform yang bermakna.
Dianjurkan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dengan kerjasama Prahara Studio, program berteraskan kesihatan dan kesejahteraan itu bukan sekadar menggalakkan gaya hidup aktif, malah membawa mesej lebih besar mengenai keterangkuman dan kebersamaan dalam masyarakat.
Lebih istimewa, Rise & Revive turut menjadi platform sokongan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat IWK Cares menerusi program Sahabat Istimewa IWK yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU), selain memupuk nilai kebolehcapaian dan penyertaan bermakna dalam komuniti.
Menzahirkan semangat tersebut, para penghuni dan wakil daripada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur (PKAKL) serta Malaysia Federation of the Deaf (MFD) turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.
Pada masa sama, IWK mengumumkan kutipan sebanyak RM8,330 hasil jualan tiket program yang akan disalurkan sepenuhnya kepada kedua-dua organisasi berkenaan bagi menyokong usaha mereka memperkasa komuniti.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, Rise & Revive diwujudkan sebagai ruang yang menyatukan masyarakat dalam suasana positif sambil memberi peluang kepada orang ramai menyumbang semula kepada komuniti.
“Program ini bukan hanya tertumpu kepada gaya hidup sihat, tetapi ruang yang menyatukan komuniti menerusi suasana yang bermakna dan inklusif di samping dapat menyumbang semula kepada masyarakat.
“Menerusi Rise & Revive, kami bangga dapat mewujudkan ruang untuk orang ramai berhubung, kekal aktif dan menyokong usaha bermakna buat komuniti. Ia mencerminkan semangat satu tujuan, yang selaras dengan komitmen IWK menerusi inisiatif Sahabat Istimewa IWK,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Berlatarbelakangkan kehijauan taman rekreasi IWK Eco Park @ Pantai Dalam, program dimulakan dengan sesi yoga yang dikendalikan penyanyi dan penggiat kesejahteraan terkenal, Atilia Haron, sebelum diteruskan dengan sesi Flyjam bersama Mimifly dan Poundfit bersama Hanis.
Menurut Atilia, Rise & Revive membawa makna yang lebih besar daripada sekadar aktiviti kecergasan kerana ia menghubungkan komuniti melalui satu tujuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Apabila Rise & Revive mula diperkenalkan, ia berniat untuk mewujudkan gaya hidup sihat dengan tujuan yang lebih bermakna.
“Ia bukan sekadar tentang pergerakan, tetapi tentang menyatukan komuniti dalam suasana harmoni dan menenangkan.
“Melihat program ini direalisasikan bagi menyokong inisiatif Sahabat Istimewa IWK menjadikannya lebih bermakna,” tambahnya.
Sementara itu, Mimifly pula berkata, nilai keterangkuman sentiasa menjadi sebahagian daripada pendekatan kreatifnya termasuk menerusi penggunaan pergerakan yang diinspirasikan daripada bahasa isyarat dalam persembahannya.
“Saya sentiasa berusaha menjadikan persembahan saya lebih inklusif dengan cara tersendiri, termasuk menggabungkan pergerakan berasaskan isyarat tangan yang diinspirasikan daripada bahasa isyarat dalam koreografi saya.
“Penglibatan dalam Sahabat Istimewa IWK menjadikannya lebih bermakna apabila pergerakan, muzik dan nilai inklusif dapat diraikan,” ujarnya.
Selain aktiviti kecergasan, para peserta turut menikmati pelbagai produk artisan dan barangan menarik yang ditawarkan oleh peniaga tempatan di ruang jualan yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Rise & Revive melabuhkan tirainya dengan persembahan khas daripada Mimifly dan Atilia Haron, sekali gus menutup program dalam suasana penuh bertenaga dan meriah.
Kejayaan penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan IWK menerusi Sahabat Istimewa IWK dalam memperkasakan komuniti, sambil memupuk nilai keterangkuman, kebolehcapaian dan gaya hidup sihat yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.