BANGKOK: Lima daripada tujuh individu yang terperangkap di dalam sebuah gua dipenuhi air di Laos selama kira-kira seminggu berjaya diselamatkan, menurut penyelam berpangkalan di Thailand, Mikko Paasi, yang terlibat dalam operasi menyelamat pelbagai negara itu.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Paasi berkongsi video usaha mengeluarkan mangsa, menunjukkan pelombong yang diselamatkan dibawa keluar dengan selamat dari gua berkenaan.
Video itu menunjukkan kumpulan mangsa terbaharu berjaya dibawa ke tempat selamat oleh anggota pasukan penyelamat.
“Kesemua lima pelombong berjaya dibawa keluar dengan selamat!” tulis Paasi pada kapsyen video itu.
Terdahulu, seorang lagi penyelam berpangkalan di Thailand, Norrased Palasing, mendedahkan menerusi Facebook bahawa pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang daripada mangsa yang terperangkap dari gua dipenuhi air itu pada malam Jumaat.
Beliau berkata seorang mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat dan menegaskan operasi akan diteruskan sehingga semua mangsa yang masih terperangkap berjaya diselamatkan.
“Semua anggota pasukan masih berjuang sehabis daya -- dengan kekuatan, semangat dan harapan kami.
“Tolong terus berikan sokongan kepada setiap anggota pasukan penyelamat, dan doakan keselamatan mangsa yang masih terperangkap. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membawa mereka pulang dengan selamat,” katanya.
Difahamkan usaha mengesan dan menyelamat baki dua mangsa masih diteruskan dengan melibatkan pasukan penyelamat pelbagai negara dan pakar selam.
Menurut laporan media, tujuh penduduk kampung warga Laos memasuki sebuah gua di daerah Phonxay, wilayah Xaysomboun di tengah Laos pada 20 Mei sebelum terperangkap selepas paras air meningkat dan membanjiri sebahagian sistem gua itu.
-- BERNAMA