Skip to main content

Malaysia

KKM beri amaran dakwaan manfaat ‘hydrogen inhaler’ belum terbukti

KKM
KKM turut meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap kaedah jualan yang menyasarkan golongan berusia, khususnya yang menggunakan tekanan atau rayuan emosi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan penggunaan “hydrogen inhaler” atau mesin hidrogen.

KKM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai aktiviti penjualan dan promosi peranti berkenaan, termasuk pelbagai dakwaan berkaitan manfaat kesihatan yang ditawarkan.

"Semua peranti perubatan yang dijual atau digunakan di Malaysia wajib berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

"Penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti perubatan yang tidak berdaftar merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya. 

Sehubungan itu, KKM turut menasihatkan orang ramai, terutama warga emas, supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan yang menjanjikan kesan rawatan atau manfaat kesihatan sekiranya ia belum dibuktikan secara saintifik atau diluluskan pihak berkuasa.

Orang ramai disaran membuat semakan status pendaftaran peranti melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat pembelian.

Dalam pada itu, KKM turut meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap kaedah jualan yang menyasarkan golongan berusia, khususnya yang menggunakan tekanan atau rayuan emosi.

"Sebarang aduan berhubung penjualan peranti tidak berdaftar atau iklan yang mengelirukan boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai perlu mendapatkan nasihat pengamal perubatan berdaftar bagi sebarang isu berkaitan kesihatan dan tidak bergantung kepada dakwaan manfaat produk yang belum disahkan," ujarnya lagi. 

Terdahulu, kecoh di media sosial tentang produk mesin hidrogen yang dipromosikan pihak tertentu, yang didakwa mampu bertindak melawan radikal bebas dalam badan serta mengurangkan keradangan sel.

Must Watch Video

Advertisement