KUALA LUMPUR: Malaysia berharap bantuan Jepun menerusi program Official Security Assistance (OSA) diteruskan pada 2027 dan tahun-tahun seterusnya dengan skop lebih menyeluruh, khususnya bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran Facebook berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Negeri Jepun Toshimitsu Motegi pada hari ketiga lawatan kerja ke negara itu.
Beliau berkata Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas bantuan menerusi program berkenaan, termasuk penyediaan sistem menentang pesawat tanpa pemandu (counter-UAV) kepada Malaysia.
Pertemuan itu turut menyentuh usaha memperluas kerjasama maritim, meneroka kaedah perolehan pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta cadangan mengadakan mesyuarat tahunan peringkat Menteri Pertahanan kedua-dua negara, susulan pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Jepun pada Isnin.
“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan Indo-Pasifik, khususnya situasi di Laut China Selatan, dengan Malaysia menegaskan kepentingan perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau itu,” katanya.
Mohamed Khaled berkata pertemuan itu juga membincangkan hubungan pendidikan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, termasuk penubuhan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan kampus University of Tsukuba di Malaysia, selaras dengan semangat Dasar Pandang ke Timur.
Beliau berkata Malaysia melihat Jepun sebagai rakan strategik yang dipercayai dengan hubungan dua hala itu dijangka terus diperkukuh menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada 2027.
-- BERNAMA