GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa membuat perancangan dan unjuran mengenai keperluan perkhidmatan kesihatan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit di hospital awam susulan kenaikan kos insurans kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata usaha itu dibuat sebagai sebahagian perancangan harian dan jangka panjang sektor kesihatan awam, termasuk dari segi keperluan kewangan bagi mengatasi perubahan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.
“Dalam perkhidmatan kesihatan, terutama pihak sektor awam bagi perancangan harian dan masa hadapan, kita ada membuat jangkaan mengenai perkara yang akan berlaku dan sebagainya.
"Unjuran itu menjadi antara asas bagi sokongan kewangan kerajaan untuk memastikan isu keperluan perkhidmatan kesihatan dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persudangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) Tan Sri Michael Yeoh yang dilaporkan berkata kenaikan kos insurans kesihatan sehingga 20 peratus setahun semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan beban kewangan rakyat terus meningkat.
Yeoh dilaporkan berkata peningkatan itu lebih ketara berbanding kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta yang berlaku dari tahun ke tahun dan isu tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada pesakit dan orang awam, malah turut menambah beban kerajaan dari segi peruntukan kesihatan.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathar berkata KKM menyedari kebimbangan berhubung kenaikan kos insurans kesihatan yang dilaporkan mencecah sehingga 20 peratus setahun, yang berpotensi meningkatkan beban rakyat dan memberi kesan kepada penggunaan perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata KKM dan Kementerian Kewangan (MOF) kini bekerjasama menerusi jawatankuasa bersama kementerian bagi meneliti isu berkenaan.
Katanya perkara itu termasuk usaha kerajaan melalui program Medi-Asas iaitu pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful yang diwujudkan bagi menyediakan akses kepada perlindungan kesihatan lebih mampu milik serta mampan untuk rakyat Malaysia.
“Dari segi insurans dan sebagainya, ini lebih melibatkan agensi lain yang mengawal dari segi premium dan sebagainya, Kerjasama antara agensi sedang dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA