SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) membuka peluang kepada lebih ramai pegawai perubatan mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang geriatrik bagi melahirkan lebih ramai pakar bidang itu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata setakat ini KKM hanya mempunyai 34 orang pakar dalam pengkhususan perubatan yang memfokuskan pada kesihatan dan penjagaan bagi golongan berumur itu.

Selain menambah jumlah pakar, Lukanisman berkata KKM juga akan meningkatkan perkhidmatan geriatrik menerusi fasiliti kementerian sedia ada, bukan hanya di Selangor tetapi juga di seluruh negara selaras dengan hasrat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang inginkan kerajaan memberi tumpuan kepada perkhidmatan tersebut.

"Kajian World Bank Group 2020 di Malaysia menunjukkan tidak semua warga emas menua dengan sihat. Secara amnya, Malaysia menunjukkan peningkatan beban penyakit kronik seiring dengan pertambahan jangka hayat.

"Ini terbukti dengan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018 menunjukkan sebanyak 50 peratus warga emas menghidap hipertensi dan hiperlipidemia, manakala sebanyak 28 peratus lagi menghidap kencing manis," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat negeri Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini semalam.

Lukanisman berkata susulan hasil tinjauan itu, fasiliti geriatrik KKM perlu menyediakan perkhidmatan fisioterapi yang lebih baik dan menepati keperluan warga emas di Malaysia di samping perkhidmatan jagaan yang lebih komprehensif.

Katanya KKM juga akan mewujudkan Pusat Geriatrik Negara yang kini dalam perbincangan, bertujuan memberi perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada warga emas.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli berangkat bagi merasmikan program tersebut.

Ketibaan baginda disambut Lukanisman dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

-- BERNAMA