MALAYSIA
KKM iktiraf Perlis, model negeri haramkan vape melalui fatwa dan PBT

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf pendekatan kerajaan negeri Perlis sebagai model teladan dalam membanteras penjualan rokok elektronik atau vape. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf pendekatan kerajaan negeri Perlis sebagai model teladan dalam membanteras penjualan rokok elektronik atau vape.
Ringkasan AI
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuji pendekatan berani Perlis yang menggabungkan kuasa PBT dan fatwa negeri untuk haramkan vape.
- KKM anggap langkah itu sebagai contoh terbaik kepada negeri lain dalam membendung bahaya vape, terutama dalam kalangan remaja.
- Kerajaan Perlis turut dihargai kerana tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis vape, selaras dengan pendekatan Akta 852.
“Saya lihat tindakan Perlis sangat menarik dan wajar dijadikan contoh. Mereka menggunakan gabungan kuasa pentadbiran dan fatwa untuk mengharamkan vape.
“Ini pendekatan holistik yang patut dipuji,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ops Selamat Paru-Paru (Ops PaPa), di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan seperti itu memberikan isyarat jelas kepada masyarakat, usaha membendung bahaya vape tidak boleh bergantung kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai peringkat termasuk negeri dan tempatan.
Dzulkefly turut memuji keputusan kerajaan negeri Perlis yang tidak lagi mengeluarkan lesen baharu kepada premis menjual vape, malah tidak memperbaharui lesen sedia ada.
“Ini merupakan langkah jelas dan berani,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan kepada enam lagi negeri yang turut menghentikan pemberian lesen kepada premis menjual vape secara khusus.
Katanya, fatwa turut memainkan peranan penting dalam memberikan panduan moral dan agama kepada masyarakat Islam mengenai bahaya penggunaan vape.
“Apabila fatwa menyatakan vape itu haram atau memudaratkan, ia memberikan sokongan moral dan agama kepada usaha kesihatan awam,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami