KKM kaji cadangan 'mask' jenis kain, pelindung muka dan purdah di sekolah

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cadangan tersebut termasuk membenarkan pelajar memakai pelitup muka jenis kain.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cadangan tersebut termasuk membenarkan pelajar memakai pelitup muka jenis kain. - Gambar hiasan | Astro Awani
Beberapa jenis pelitup muka sedang dikaji oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha untuk mengurangkan beban rakyat khususnya golongan pelajar dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cadangan tersebut termasuk membenarkan pelajar memakai pelitup muka jenis kain.

Jelas beliau, fabrik yang dicadangkan juga mengambil kira kos bagi memastikan ia mampu dimiliki.

“Kalau 3 ply (lapis) mungkin lebih mahal harganya fasal fabriknya adalah fabrik tertentu yang diluluskan. Kita sekarang ini mencadangkan supaya boleh tak kain biasa digunakan untuk menutup muka.

“Kedua, kita mencadangkan supaya face shield (pelindung muka) juga boleh digunakan sebab face shield ini beli sekali tak perlu tukar hari-hari dan ia cuma boleh dicuci sahaja. Harga saya difahamkan sekitar RM2 hingga RM4 sahaja untuk satu face shield dan hari-hari boleh cuci dan boleh pakai lagi esok. (Face shield) mungkin boleh dipakai selama dua hingga empat bulan,” katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan turut memohon agar KKM mengkaji sebarang jenis kain yang digunakan untuk menutup mulut dan hidung termasuk penggunaan purdah.

“Jadi, kita pun minta supaya mereka yang memakai purdah misalnya, adakah perlu atau tak perlu memakai mask, (sebab) dia dah ada penutup iaitu kain purdah, ataupun di sesetengah negeri memakai kain selendang dan sebagainya boleh ditutup muka.

“Di sesetengah negeri, penutup kepala (digunakan sebagai) penutup muka... jadi (KKM pertimbangkan) ia boleh atau tidak.

“Sekiranya ia diluluskan, insya-Allah kita akan umumkan,” katanya.