KKM kata tutup, masih ada lagi yang nak daki Bukit Broga...

Terdapat 28 individu berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun telah melakukan aktiviti pendakian di bukit tersebut.

Orang ramai diberi amaran supaya tidak melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga buat masa ini kerana kawasan itu masih ditutup. - PDRM | Astro Awani
Seramai 28 individu yang mendaki Bukit Broga, Semenyih dikenakan tindakan selepas mereka ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, tindakan itu susulan pemantauan yang dilakukan oleh pasukan pemantauan Ops COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 8 dan 9 Ogos lalu.

"Terdapat 28 individu berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun telah melakukan aktiviti pendakian di bukit tersebut.

"Daripada jumlah itu, dua daripadanya telah ditahan di bawah Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988.

"Manakala selebihnya dikompaun RM1,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 18 Peraturan 10/11 akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga buat masa ini kerana kawasan itu masih ditutup.

"Sebarang pelanggaran arahan PKPP akan diambil tindakan," tegas beliau.

Pada 27 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga mengikut Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Penutupan kawasan pendakian itu dibuat selepas melihat tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.