Satu lagi kluster baharu, yang diberi nama Kluster Bunga telah dikesan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Kluster Bunga merupakan kluster terpencil dan membabitkan pekerja yang bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Jelasnya lagi, kapal itu mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura, dan sejumlah 34 kru kapal disaring.

Daripada jumlah itu, beliau berkata empat kru telah disahkan positif COVID-19.

“Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan dua orang warganegara Malaysia dan dua (2) orang bukan warganegara. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

“Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal,” katanya lagi.

Selain empat yang positif, Dr Noor Hisham berkata, enam kru didapati negatif, manakala 24 individu lagi masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan proses nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut, dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tawar dan Kluster Telaga masing-masing mencatatkan satu kes baharu hari ini.

“Terdapat satu kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 74 kes.

“Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 16,462 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, pecahan saringan untuk Kluster Tawar untuk Kedah adalah – 15,917 individu telah disaring, 63 dikesan positif, 12,597 didapati negatif, manakala 3,257 individu masih menunggu keputusan saringan.

Di Pulau Pinang pula, beliau berkata, 534 individu telah disaring, dan 11 individu telah disahkan positif COVID-19.

Untuk saringan kluster yang sama di Perak pula, beliau berkata, jumlah saringan masih kekal sebanyak 11, dan kesemuanya adalah negatif.

Bagi Kluster Telaga pula, Dr Noor Hisham berkata, ia telah mencatatkan satu lagi kes baharu.

“Kluster ini mula dilaporkan pada 30 Ogos 2020 dengan dua kes positif melibatkan kakitangan hospital (kes ke-9284 iaitu kes indeks dan kes ke-9334). Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua lagi kes positif COVID-19 yang telah dilaporkan sebelum ini (kes ke-9306 dan kes ke-9291) didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak lima (5) kes. Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 735 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini.