PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan penggunaan produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco yang dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine iaitu sejenis sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan.

KKM dalam kenyataan hari ini mengingatkan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk terbabit diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan itu.

"Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk terbabit serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.

"Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang," menurut KKM.

Menurut kenyataan itu, label pada produk berkenaan juga didapati tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama sebutan sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, tiada nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar atau empunya hak untuk mengilang atau pengimport. dan mempunyai akuan "premium", selain turut memaparkan label Skim Pensijilan GMP dan Skim Pensijilan MeSTI KKM palsu.

Sehubungan dengan itu, KKM memberitahu produk terbabit tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kementerian memaklumkan berdasarkan data daripada satu kajian di peringkat antarabangsa dikenali sebagai "Sibutramine on Cardiovascular Outcome Study (SCOUT)", Sibutramine didapati mempertingkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan.

"Justeru, KKM memutuskan Sibutramine sebagai bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

"Antara kesan sampingan Sibutramine yang dilaporkan ialah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat.

"Selain kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, Sibutramine banyak disalah guna dalam produk makanan bagi memberikan kesan penurunan berat badan.

Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk makanan yang dicampur atau mengandungi bahan terlarang ini, menurut KKM.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan menegaskan bahawa status keselamatan produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti Sildenafil, Tadalafil, Sibutramine, Dexamethasone dan Prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA