KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan RM1.04 juta bagi kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Arsits Sanna.

Beliau berkata peruntukan itu juga termasuk bagi kerja-kerja pembaikan kecil Dewan Kampung Tangkarason yang bernilai RM50,000 selain RM362,600 untuk perolehan aset perubatan.

"Susulan kejadian kebakaran pada 14 Feb lalu memusnahkan bangunan klinik dan kuarters Klinik Kesihatan Tangkarason, JKNS memohon peruntukan daripada KKM untuk pembinaan bangunan baharu, ketika ini perkhidmatan kesihatan Klinik Kesihatan Tangkarason ditempatkan sementara waktu di Dewan Kampung Tangkarason sejak 19 Feb lalu.

"Proses kerja pembinaan bangunan klinik, pembaikan Dewan Kampung Tangkarason dan perolehan aset perubatan sedang dalam pelaksanaan di bawah Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beluran dan pelaksanaannya akan dipantau dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Dalam pada itu, katanya KKM turut meluluskan peruntukan tujuan sewaan inap desa untuk kuarters sementara Klinik Kesihatan Tangkarason bagi penempatan staf yang terjejas.

"KKM juga memberi pengesahan peruntukan RM500,000 bagi kerja-kerja pembinaan kuarters berkembar yang akan dimulakan tahun depan," katanya.

Dr Arsits berkata pihaknya akan terus memantau perkhidmatan kesihatan untuk komuniti serta kebajikan petugas Klinik Kesihatan Tangkarason.

"Mengenai isu staf yang tidak mencukupi di Klinik Kesihatan Tangkarason, penempatan pegawai perubatan tetap di klinik itu sedang diusahakan dalam masa terdekat termasuk seorang penolong pegawai perubatan baharu akan masuk pada pertengahan bulan ini," katanya.

-- BERNAMA