PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan berhubung vaksin yang dikeluarkan oleh negara China tidak berkesan serta tidak selamat untuk digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, China telah mempunyai banyak pengalaman berhubung pengeluaran vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Dakwaan sebuah akhbar itu tidak benar dan ini merupakan satu informasi yang kurang tepat kerana mereka (China) telah mengeluarkan pelbagai jenis vaksin untuk pelbagai penyakit,” katanya dalam sidang media harian pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas mengenai kerjasama antara Malaysia dan China dalam membangunkan vaksin COVID-19 di negara ini.

Katanya lagi, ketika ini terdapat 12 vaksin yang perlu diteliti di samping melihat kepada tahap keberkasanannya.

"Sekarang ini, ia adalah vaksin baharu yang memerlukan kajian, setakat ini ada 12 vaksin dalam kajian fasa ketiga dan KKM masih menunggu dokumen membabitkan kajian itu.

"Kita akan melihat keberkesanan serta kesan samping vaksin itu," katanya lagi.

Mengulas mengenai tempoh penggunaan, Dr Noor Hisham berkata perkara itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Penyelidikan Etika Perubatan sebelum ia dibenarkan untuk diguna kelak.