PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 bagi mengoptimakan perlindungan terhadap penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif yang dikenali sebagai pemberian imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP) akan berjalan serentak seluruh negara bermula esok (1 Jun), dan diteruskan sehingga 31 Mei tahun depan.

Jelas beliau, berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital KKM adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

"Bagi pemberian vaksin itu, ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana-mana fasiliti kita secara 'walk in'.

"Selain itu, ada juga janji temu melalui MySejahtera. Jadi mereka (ibu bapa) boleh pergi ke aplikasi MySejahtera untuk membuat tempahan bagi mendapatkan vaskin di semua fasiliti kesihatan (KKM)," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 bertemakan 'Tingkatkan Liputan, Kurangkan Keciciran'.

Menurut Dr Zaliha lagi, KKM menyasarkan seramai 700,000 daripada 1 juta kanak-kanak yang berusia empat dan lima tahun untuk menerima suntikan vaksin pneumokokal dalam program berkenaan.

"Walaupun sasaran kita diberikan sebanyak 700,000 tetapi kementerian mengharapkan sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus daripada sasaran tersebut," ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan program tersebut, Dr Zaliha berkata KKM telah melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020, dan kanak-kanak berkenaan telah mencapai umur tiga tahun, ketika ini.

Ujar beliau, vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

"Antara penyakit yang disebabkan bakteria ini adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput mata dan sarah tunjang serta jangkitan dalam bakteria dalam darah," katanya.

Beliau menambah, program imunisasi yang dijalankan di peringkat global telah menunjukkan penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia.

Penurunan tersebut, katanya daripada 150 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1950-an kepada 38 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021.

"Di Malaysia juga, penurunan kadar kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun daripada 158 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1950 kepada 7.4 kematian setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2021," jelas Dr Zaliha.

Pada masa sama, Dr Zaliha memaklumkan pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi.