KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan individu yang melakukan ujian saringan saringan RT-PCR COVID-19 pada tahun ini iaitu seramai kira-kira 1.19 juta orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, daripada jumlah berkenaan, kadar individu yang dikesan positif adalah 9.96 peratus.

"Jumlah ujian bagi tahun 2021 ini meningkat dengan adanya (keperluan) ujian yang perlu dilaksanakan oleh majikan (terhadap pekerja) iaitu secara bersasar. Tahun ini dicatatkan pada kadar 1,188,284.

"Ini adalah jumlah yang tinggi untuk satu bulan lima hari yang telah kita lalui pada tahun 2021," katanya pada Ahad.

Menurut beliau lagi, setakat ini, jumlah keseluruhan bagi ujian saringan untuk RT-PCR dan RTK-Antigen sejak 2020 adalah pada kadar 6,414,565.

"Saya ingin memaklumkan bahawa secara keseluruhan ujian COVID-19 sama ada RTK-Antigen atau RT-PCR sehingga 5 Februari 2021 adalah 6,414,565.

"Ujian telahpun dilaksanakan yang mana pada tahun 2020, ujian RT-PCR (yang telah dijalankan) adalah 3,32,554 dengan kadar positif yang dikesan adalah 4.0 peratus.

Kata beliau, bagi kategori ujian saringan RTK-Antigen untuk kedua-dua tahun iaitu 2020 dan 2021 pula adalah pada jumlah 1,893,727 dengan 2.79 peratus dikesan positif.

"Ini menandakan kerajaan telah mengambil perhatian yang tinggi dalam mengesan individu yang positif. Cepat kita uji, cepat kita asingkan," katanya.

Ujar beliau kerajaan telah melaksanakan pelbagai insiatif dalam memastikan wabak COVID-19 dapat dibendung, antaranya dengan menubuhkan 213 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara bagi meneliti kelulusan menjalani rawatan di rumah.

"Bagi kes yang bergejala kita akan tempatkan di hospital. Manakala bagi kes yang tidak bergejala pula kita tubuhkan CAC untuk memantau mereka yang menjalani rawatan (kuarantin) di rumah," tambahnya lagi.