Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik keputusan kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menggesa agar orang ramai menggunakan pelitup muka dengan betul dan memastikan ia menutupi ruang hidung sehingga dagu.

"Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi, atau menutupi
hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

"Nasihat KKM adalah, pakailah facemask dengan kaedah yang betul," tegasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menjelaskan pelitup muka bukan perubatan (non-medical mask) seperti yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah fabrik atau kain dengan tiga lapisan.

Lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), misalnya kapas atau campuran kapas

- Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik), misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya. Lapisan ini boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai

- Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon mengumumkan keputusan pemakaian pelitup muka akan diwajibkan bermula 1 Ogos.

Katanya, keputusan itu dibuat melihat kepada kadar peningkatan kes yang mula kembali meningkat selain pematuhan rakyat terhadap SOP semakin berkurangan.