PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan untuk menurunkan kadar kes kebolehjangkitan COVID-19 kepada tahap 0.5 peratus dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lokasi berisiko.

"Unjuran kes kebolehjangkitan di seluruh negara ketika ini berada diantara 1.1 peratus dan 0.9 peratus. Jadi kita sasar dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi mampu capai pada kadar 0.5 peratus.

"Dalam tempoh empat minggu kita telah berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan daripada 2.2 peratus kepada 1 peratus sebelum ini dan ini merupakan tindakan yang berjaya.

"Mungkin kita tidak nampak hasil pelaksanaan PKPB setakat ini tetapi, apa yang dilakukan ini boleh mengelakkan lonjakan kes yang tinggi di satu-satu kawasan," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

BACA: COVID-19: 958 jangkitan baharu, 3 kematian direkodkan

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham meminta semua pihak untuk meningkatkan aktiviti kesihatan awam bagi meratakan lengkungan jangkitan COVID-19.

"Kita harap agar rakyat Kelantan khususnya untuk terus duduk dirumah dalam tempoh dua minggu ini bagi membantu mengurangkan kadar jangkitan kes.

"Jika perlu keluar, saya minta agar semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan sebagainya," katanya lagi.