PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 958 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan sepanjang 24 jam lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah berkenaan, tiga negeri mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi.

Ketiga-tiga negeri itu ialah Sabah yang merekodkan 512 kes sementara Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan 153 kes baharu.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengesan lima kes import dari luar negara selain tiga kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan.

"Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes).

"Negeri Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu.

"Selain itu, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import manakala 953 kes adalah merupakan penularan dalam negara," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 13,221 kes.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak lima kluster baharu dikesan membabitkan penularan jangkitan COVID-19.

"Lima kluster berkenaan iaitu Kluster Kasir, Kluster Sri Jujur, Kluster OAD, Kluster Enggor dan Kluster Makmur.

"Pertambahan kluster itu menjadikan sebanyak 324 dilaporkan setakat hari ini dan daripada jumlah itu, 167 kluster masih dalam kategor aktif," jelasnya.

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini