KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sedang menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan (National Test Strategy) bagi menentukan peralihan fasa mitigasi di satu-satu kawasan

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, strategi tersebut juga membolehkan kementerian mengenal pasti kawasan yang rendah dalam aspek pembendungan (lack of containment).

Ia sekali gus dapat memastikan strategi yang lebih jelas dapat dilakukan bagi memastikan kadar positif COVID-19 diselaraskan di seluruh negara.

"Sebelum itu di lapangan pelbagai interpretasi tentang ujian. Sebab itu saya dah minta satu strategi ujian yang jelas dapat dilaksanakan dalam keadaan tertentu.

"Bagaimanapun, kita kena memperkasakan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menentukan berdasarkan trend penularan kes sama ada mereka sudah mitigasi atau 'lack of containment' dengan mengambil kira aset yang sedia ada.

"Kalau aset tak cukup buat apa kita buat ujian asimptomatik, dah tak cukup tangan dah, dan kena beralih kepada fasa mitigasi. Tetapi saya faham (YB) Gopeng, perkara itu memberi pandangan yang berbeza," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang meminta agar KKM memberi penjelasan sekira ada perubahan dasar terhadap prosedur melakukan ujian saringan bagi membolehkan kadar positif COVID-19 difahami.