ADDIS ABABA: Sebuah manuskrip suci Ethiopia yang dicuri tentera British hampir 160 tahun lalu mencetuskan pertikaian pemilikan selepas muncul dalam katalog koleksi persendirian dengan nilai jualan AS$250,000.
Manuskrip dikenali sebagai Gondarine Gospel itu pernah dimiliki Maharaja Ethiopia, Tewodros II, sebelum dibawa keluar ketika tentera British menyerang Magdala pada 1868.
Pihak Berkuasa Warisan Ethiopia (EHA) menggesa manuskrip berkenaan ditarik balik daripada jualan dan dipulangkan atas alasan moral dan etika.
Bagaimanapun, syarikat pengedar buku nadir berpangkalan di Vienna, Inlibris, menolak tuntutan itu dengan alasan tiada kewajipan undang-undang untuk memulangkan manuskrip berkenaan kepada Ethiopia.
Naskhah berbahasa Ge'ez yang dipercayai dihasilkan antara 1730 hingga 1734 itu dianggap penting dalam kajian sejarah, seni dan budaya Ethiopia.
Kontroversi berkenaan turut menghidupkan semula perdebatan global mengenai pemulangan artifak Afrika yang dibawa keluar ketika era penjajahan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara Eropah termasuk Britain, Jerman dan Perancis telah memulangkan sebahagian artifak bersejarah kepada negara asalnya.
Ethiopia kini mahu rundingan diadakan bagi memastikan Gondarine Gospel dapat dikembalikan, sama ada melalui pemulangan, sumbangan atau perjanjian penjagaan bersama.