TUNIS: Hujan lebat yang melanda ibu negara Tunisia pada Khamis menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan, sekali gus melumpuhkan sebahagian bandar raya itu, menjejaskan bekalan elektrik dan internet serta memerangkap ramai penduduk di jalan raya.
Kawasan Greater Tunis yang menempatkan hampir tiga juta penduduk sekali lagi berdepan gangguan besar akibat cuaca buruk, hanya beberapa bulan selepas hujan lebat pada Januari lalu mengorbankan beberapa individu serta menyebabkan kerosakan harta benda.
Walaupun amaran cuaca telah dikeluarkan lebih awal, keputusan untuk menggantung sesi persekolahan diumumkan pada saat akhir, menyebabkan ibu bapa bergegas ke sekolah bagi mengambil anak masing-masing ketika hujan semakin lebat.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa jalan utama ditenggelami air, kenderaan terkandas dalam banjir serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Seorang penduduk Tunis, Fatma, 35, berkata keadaan berubah dengan pantas sehingga menyukarkan orang ramai untuk pulang ke rumah.
“Sekitar jam 4 petang, jalan raya hampir tidak dapat dikenali. Terowong menuju ke Bab Saadoun ditutup sepenuhnya akibat banjir,” katanya.
Menurutnya, ramai pengguna jalan raya terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan kerana pengangkutan awam gagal beroperasi seperti biasa.
“Saya melihat beberapa kereta dimasuki air dan rosak, manakala ada ibu bapa terpaksa mendukung anak mereka meredah banjir,” katanya.
Institut Meteorologi Kebangsaan Tunisia sebelum ini memberi amaran mengenai ribut petir dan hujan lebat yang berpotensi menyebabkan banjir, kesesakan lalu lintas serta gangguan bekalan elektrik.
Insiden itu turut mencetuskan kritikan terhadap pihak berkuasa tempatan yang didakwa gagal melaksanakan langkah pencegahan secukupnya sebelum musim hujan.
Seorang lagi penduduk, Intissar, 33, berkata masalah banjir berulang hampir setiap tahun walaupun jumlah hujan tidak terlalu tinggi.
Beliau berpendapat kerja-kerja pembersihan sistem perparitan dan saliran sepatutnya dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan risiko banjir.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui sikap segelintir penduduk yang membuang sampah ke dalam longkang dan saliran turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
Pada Ogos lalu, kerajaan Tunisia mengumumkan 29 projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di seluruh negara selain mengarahkan kerja pembersihan saliran dan sungai dipercepatkan.
Banjir itu juga berlaku ketika Tunisia bersiap sedia menganjurkan perarakan nasional di Tunis pada Sabtu bagi menuntut pembebasan empat aktivis yang ditahan berkaitan Flotila Al-Soumoud.
Ramalan cuaca menunjukkan hujan dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini.
Keadaan itu turut menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam ketika pelajar kembali ke sekolah dan universiti bagi sesi baharu minggu ini.