MALAYSIA
KKM sedia kaji reformasi pembiayaan penuaan - Dzulkefly

Terdapat cadangan mewujudkan skim perlindungan sosial atau caruman khas sebagai persediaan membiayai keperluan penjagaan kesihatan pada usia tua. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mengkaji pelaksanaan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan bagi golongan warga emas selaras dengan perubahan demografi negara ke arah masyarakat menua.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah mewujudkan skim perlindungan sosial atau caruman khas sebagai persediaan membiayai keperluan penjagaan kesihatan pada usia tua.
"Perubahan demografi ini sememangnya menuntut kita mempelbagaikan dan menambah sumber pembiayaan awam," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Negara hari ini.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif jangka panjang, Dzulkefly berkata KKM sedang merangka penubuhan Dana Kesihatan Nasional yang akan berteraskan hasil cukai langsung dan tidak langsung termasuk cukai prokesihatan ke atas produk berisiko seperti rokok, vape, alkohol dan minuman bergula."Pelaksanaan cukai ini juga diharap dapat mempengaruhi perubahan tingkah laku ke arah kehidupan lebih sihat. Dana ini akan digunakan bukan hanya untuk rawatan tetapi bagi mengukuhkan pendekatan kesihatan awam dan pencegahan," katanya.
Selain itu, beliau berkata suatu pendekatan inovatif dan mampan dalam sistem pembiayaan kesihatan perlu diwujudkan agar tidak hanya bergantung kepada kaedah tradisional.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM sedang meneliti keperluan meminda Akta Tisu Manusia 1974 bagi memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan pendermaan dan transplantasi organ.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika menggulung perbahasan usul RMK13 bagi kementeriannya berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan autisme khusus bagi anak dengan keperluan khas itu.
Beliau berkata pusat yang bakal ditubuhkan itu akan menawarkan perkhidmatan komprehensif termasuk pengesanan dan diagnosis awal, intervensi awal, sokongan kepada keluarga serta berfungsi sebagai "one-stop centre" bagi perkhidmatan autisme.
Beliau turut memaklumkan hingga Jun lepas, terdapat 579 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berdaftar di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih 20,000 orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pula memaklumkan persidangan hari ini bahawa RM6.32 bilion pembiayaan berjaya disalurkan kepada 237,581 usahawan dan koperasi di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.
Beliau berkata pembiayaan melibatkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
"Ini menjadikan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kekal positif dengan pertumbuhan 5.8 peratus tahun lepas, menyumbang RM652.4 bilion kepada ekonomi negara. Eksport PMKS turut melonjak 31.3 peratus, mewakili 14.3 peratus daripada jumlah eksport negara," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian berkenaan.
Dari aspek pasaran pekerjaan, PMKS berjaya menyediakan pekerja bergaji seramai 8.1 juta orang, menunjukkan peningkatan 3.1 peratus dengan penambahan hampir 250,000 pekerja sekali gus meningkatkan sumbangan sektor itu terhadap jumlah guna tenaga negara kepada 48.7 peratus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami