KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluas dan menambah baik fasiliti kemudahan kesihatan sedia ada dalam usaha memberikan rawatan terbaik kepada pesakit kanser, khususnya kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata tindakan itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan penyakit itu selain memastikan celik terhadap pendidikan kanser.

"Penyakit kanser adalah penyakit yang semakin meningkat di Malaysia terutama melibatkan golongan kanak-kanak dan lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak setiap hari.

"Namun dengan kemajuan rawatan sedia ada, peluang untuk pesakit kanak-kanak ini pulih, meningkat secara mendadak dengan lebih 70 peratus daripada mereka telah sembuh. Jadi KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser kanak-kanak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024 di sini semalam yang turut dihadiri 200 pesakit kanser kanak-kanak bersama-sama dengan ibu bapa mereka.

Karnival dan kolokium yang membawa tema Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak itu, mengetengahkan perjalanan rawatan pesakit kanser kanak-kanak yang telah pulih termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi kanak-kanak kanser dan keluarga.

Pada majlis itu Lukanisman turut menyampaikan anugerah wira National Childhood Cancer Alliance (NCCA) kepada golongan profesional dan sukarelawan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam meringankan beban yang ditanggung pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka.

Lukanisman juga menyeru sektor korporat bekerjasama bersama KKM dalam meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

"Pesakit kanser kanak-kanak perlu diberikan perhatian seperti kanak-kanak biasa lain baik dari segi kasih sayang dan pembelajaran. Diharapkan pejuang-pejuang kanser ini dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa kanser bukanlah satu pengakhiran.

"Kepada penjaga kanak-kanak ini, diharapkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan masa untuk menjaga dan mendidik kana-kanak ini," katanya.

-- BERNAMA