MALAYSIA
KKM tiada kuasa halang pengamal perubatan berhijrah, era lantikan kontrak hampir berakhir - Dr Dzulkefly

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap ketika merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Astro AWANI/Abdul Wafi Norazmi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang jururawat dan doktor daripada direkrut bekerja di luar negara.
Ringkasan AI
- Menteri Kesihatan Malaysia mengakui migrasi doktor dan jururawat ke luar negara selaras MRA dan AFAS, dan KKM hanya boleh menguatkan faktor tarikan agar mereka kekal berkhidmat di Malaysia.
- MOH Singapura didakwa akan menjalankan temu duga di KL dengan tawaran pakej gaji tahunan RM385,000, menyebabkan kebimbangan terhadap kehilangan tenaga kerja kesihatan tempatan.
- KKM akan mengambil langkah pembendungan dan mempercepat penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap, dengan keperluan mendesak untuk mengisi 9,000 kekosongan jururawat dalam negara.
“Dari 1978 lagi, beberapa mantan Ketua Pengarah Kesihatan sudah ingatkan saya tentang isu ini, malah ada jururawat kita yang belum sempat pun bekerja di Malaysia sudah berhijrah ke luar negara.
“Saya sedia maklum kali ini ia lebih ketara, KKM akan melakukan inisiatif pembendungan,” ujar Dzulkefly ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, menerusi satu hantaran tular di media sosial, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura didakwa akan menganjurkan sesi temu duga bersemuka dengan doktor serta pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada bulan hadapan.
Sesi pengambilan tersebut disertakan tawaran pakej menarik, termasuk gaji tahunan sekitar RM385,000, tidak termasuk elaun penginapan bulanan, perlindungan insurans dan pelbagai faedah lain.
Sementara itu, Dzulkefly turut mengulas gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya kerajaan memansuhkan lantikan jawatan doktor secara kontrak bagi mengembalikan keyakinan pekerja sektor perubatan untuk terus berkhidmat.
“Pada tahun 2016, kita mulakan Contract of Service, di mana pekerja perubatan seperti doktor diambil sebagai kontrak.
“Perlu diingat, ia adalah satu interim dan sekarang ini kita sudah sampai ke pengakhiran era interim pekerja kontrak, mereka akan diserap secepat mungkin menjadi tetap sejurus ada kekosongan.
“Dan keperluan jururawat di Malaysia ketika ini adalah sangat tinggi, sekitar 9,000 jururawat diperlukan dalam negara, semua itu perlu diisi,” jelasnya.
Tambah Dzulkefly, walaupun proses berkenaan ingin disegerakan, beliau perlu menghormati birokrasi dan langkah yang harus dilalui terlebih dahulu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami