KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kini dalam proses menubuhkan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan diketuai oleh warga komuniti tersebut, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan amalan prinsip keterangkuman dilaksana dan tidak ada sesiapa yang terpinggir dalam masyarakat.

"Kami di KKMM sentiasa peka dan mengambil berat golongan yang mempunyai cabaran pendengaran dari segi penyebaran maklumat dan komunikasi dua hala.

"Mari kita bersama-sama meningkatkan kefahaman tentang keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai kekurangan upaya termasuk cabaran pendengaran dalam usaha memperkasa akses maklumat dan komunikasi dua hala untuk semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam akaun Twitter miliknya hari ini bersempena Hari Pendengaran Sedunia 2021 yang bertemakan 'Penjagaan Pendengaran untuk Semua'.

Saifuddin berkata pada masa sama, pelbagai kaedah komunikasi mesra OKU seperti bahasa isyarat, sari kata dan infografik dilaksanakan untuk kemudahan golongan itu.

Hari Pendengaran Sedunia disambut pada 3 Mac setiap tahun dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang cabaran hilang pendengaran serta penjagaan telinga dan pendengaran, katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, terdapat kira-kira 466 juta penduduk dunia mempunyai masalah pendengaran, manakala di Malaysia, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, dianggarkan seramai 40,000 orang menghadapi cabaran itu.

-- BERNAMA