Agak berat nak memaksa diri ini untuk membuat laporan perlumbaan KL City Grand Prix (KLCGP), bukan kerana aksi ketika hujung minggu lepas tidak memuaskan, tetapi kerana ada yang lebih penting untuk diceritakan.

Sudah lama penulis menunggu untuk acara seperti KLGP; dan kali terakhir acara sukan bermotor yang agak bagus berlaku betul-betul di pusat bandaraya adalah sekitar 2006-2007, di mana perlumbaan ‘gymkhana’ oleh GRA dilakukan. Saya tidak mengambil kira Formula Drift 2011 di Dataran Merdeka, kerana terlalu sedih melihat jentera-jentera yang terlibat melakukan drift di atas permukaan yang kurang sesuai.

Setelah lama ditunggu, akhirnya KLGP datang – siap dengan kedatangan lima buah V8 Supercars daripada Australia!

Tak perlu tunggu lama, suara yang menentang lagi kuat dari yang menyokong. Alasan-alasan yang diberikan ada isi, dan yang paling utama adalah kesesakan yang terhasil. Bahkan ada komentar daripada seorang penulis surat khabar yang selamba menggambarkan KLGP sebagai acara sukan yang ‘tidak berfaedah’.

Ramai juga yang merungut dan bertanya kenapa tidak dilakukan di Litar Sepang sahaja?

Di sini, saya ingin mempertahankan pendapat kenapa acara seperti ini perlu dilakukan.

Kenapa tidak di litar Sepang? Ada beberapa sebab, yang paling mudah adalah kerana acara ini dimaksudkan sebagai ‘street race’. Ia sangat berbeza dengan perlumbaan di litar, apatah lagi jika diadakan nun jauh di Sepang.

‘Street race’ bukan untuk merangsang semangat lumba haram belia Malaysia (bagi mereka, itu berlaku secara semulajadi), tetapi untuk mendekatkan sukan ini kepada masyarakat.

Kesesakan yang berlaku memang menyusahkan, tetapi ia tidak dapat dielak. Dan, nasib baik ia dianjurkan di kawasan segi tiga emas KL, kerana tidak ada lagi tempat yang lebih mendapat perhatian sistem pengangkutan awam.

Walaupun banyak suara yang kurang senang dengan acara KL GP ini, banyak juga yang datang menyaksikannya – orang tempatan dan juga pelancong. Ramai yang membawa keluarga, menjadikan ia satu aktiviti baharu untuk dirasai sendiri.

Penulis sendiri pun kurang memberi perhatian kepada kereta di litar, tetapi lebih banyak menyaksikan karenah penonton. Si anak gembira kerana dapat berlari-lari di tengah-tengah jalan dan bersama-sama ibu bapa yang mungkin, jika tidak kerana KLGP, lebih cenderung menghadap Instagram atau bermain Clash of Clans.

Persimpangan Jalan Ampang-Jalan Sultan Ismail penuh dengan penonton bermula dari 10.00 pagi hinggalah ke petang. Kami diberitahu bahawa lebih 200,000 orang penonton berada di sekitar litar sepanjang minggu lepas; satu ramalan yang mungkin agak optimistik, tetapi memang ramai yang datang!

Bayangkan, jumlah sebanyak itu walaupun dengan rungutan yang ada, cuaca yang tidak menentu dan promosi yang kurang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin mengatakan KLGP akan dipromosi dengan lebih hebat tahun hadapan. Dan jangan lupa impak yang akan berlaku apabila V8 Supercars menjadi suatu acara penuh dan membawa 25 kereta ke grid. (Lima kereta yang datang tempoh hari dijemput untuk memberi demonstrasi kepada penonton, dengan rancangan untuk menjadikan KLGP sebagai tambahan kepada kalendar perlumbaan bagi 2016)

V8 Supercar sangat diminati di Australia dan tidak mustahil sehingga 10,000 warga negara tersebut terbang ke sini seperti yang dijangkakan ketua pegawai eksekutif siri perlumbaan tersebut, James Warburton.

Yang lebih penting, banyak yang pihak penganjur – iaitu GT Gobal Race – perlu pelajari. Antara yang penting adalah keselesaan dan keselamatan penonton, dan juga perancangan bagi memasang, dan kemudian menanggalkan segala infrastruktur sementara yang diperlukan. Sehingga hari ini, seminggu selepas acara berlangsung, masih banyak lagi penghadang jalan yang masih di lokasi asal.

Jika tidak berkemampuan untuk menguruskan aspek ini dengan cekap, pihak GT Global Race hanya menyumbang kepada perkara terakhir yang kami mahu – perlumbaan di litar jalanan (walaupun yang diselia oleh pihak AAM dan FIA) tidak patut dibawa ke Kuala Lumpur.