Skip to main content

Malaysia

KLFW 2026 buka laluan produk Malaysia ke pasaran dunia - Armizan

ARMIZAN, KLFW
Armizan berkata, nilai publisiti KLFW 2025 adalah sebanyak AS$32 juta.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh usaha memperkasa produk tempatan menerusi kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, platform berkenaan menjadi sebahagian daripada gerakan JOM MALAYSIA yang bertujuan memperluaskan akses pasaran produk tempatan, termasuk ke peringkat antarabangsa. 

Menurutnya, pencapaian KLFW tahun lalu yang merekodkan nilai publisiti (media value) sebanyak AS$32 juta (kira-kira RM131 juta) menjadi asas bahawa platform berkenaan mampu memperluaskan akses pasaran produk tempatan ke luar negara.

"Bersandarkan pencapaian tersebut khususnya dalam usaha memperluaskan akses pasaran produk tempatan ke luar negara, platform seperti KLFW amat penting,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri KLFW 2026 di Esplanade KLCC hari ini.

Armizan berkata, kerjasama itu selaras dengan pendekatan Whole of Nation di bawah gerakan JOM MALAYSIA yang menggalakkan penglibatan kerajaan, industri, sektor swasta dan rakan strategik dalam memperkukuh daya saing produk Malaysia. 

KLFW 2026 menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan kira-kira 800 rekaan kreatif yang dipersembahkan sepanjang tujuh hari penganjuran bermula 3 hingga 9 Ogos. 

Buat julung kali, acara itu turut menampilkan segmen Fashion Forward Batik Malaysia membabitkan 10 pereka tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. 

Menurut kenyataan KPDN, kerjasama strategik itu dijangka dapat memperkukuh penjenamaan batik Malaysia serta memperluaskan capaian pasarannya di peringkat domestik dan global.

Must Watch Video

Advertisement